Rabu, 28 Mac 2012

Home » , , » Sumbangan untuk Surau Al-Hidayah Kg Orang Asli Landap Sg Siput, Perak

Sumbangan untuk Surau Al-Hidayah Kg Orang Asli Landap Sg Siput, Perak



Salam bahagia kawan-kawan..


yang ini saya copypaste dari Fb Shamkamikaze.

Usai membaca, saya merasa amat terharu.. dan sebak. Jadi saya mengajak kawan-kawan untuk sama-sama menginfaq seikhlas nya.. semoga tarbiyah Islam terus berkembang di perkampungan orang Asli tersebut. Dan untuk sukarelawan yang membuat projek sebegini.. semoga diteruskan usaha secara konsisten dan berterusan.

+++++++++++++++++++++++++++++++++++


PERMOHONAN SUMBANGAN MEMBINA TANDAS, BILIK AIR DAN TEMPAT WUDHU SURAU AL-HIDAYAH KOA LANDAP SUNGAI SIPUT, PERAK.

Pengenalan I

KOA Landap merupakan sebuah perkampungan Orang Asli yang didiami lebih kurang 400 orang masyarakat Orang Asli suku Temiar.

Seluruh penduduk kampung ini telah melafazkan syahadah namun kemudahan berkaitan penghayatan Islam adalah amat mendukacitakan.

Walaupun ada yang telah melafazkan syahadah hampir sepuluh tetapi pengetahuan berkaitan Islam adalah amat minima termasuk dalam soal akidah.


Terdapat sebuah surau yg agak dhaif di kampung ini dan surau ini hanya berfungsi jika ada sukarelawan singgah ke kampung tersebut.

Surau yang dibina beberapa tahun dahulu ini tidak mempunyai tempat wudhu, tandas dan bilik air. Sungai yang terletak berhampiran dengan surau dijadikan lokasi berwudhu kepada kumpulan sukarelawan yang singgah.

Selain surau, balai sewang @ balairaya kampung ini juga amat dhaif sifat. Balai sewang yang digunakan sebagai pusat aktiviti penduduk kampung hanya dibina menggunakan bahan bahan hutan seperti batang kayu hutan dan buluh yang dibelah.

Lantainya pula terdiri daripada papan papan terpakai yang juga dhaif sifatnya. Pendek kata, balai sewang yang digunakan itu hanya menunggu masa untuk runtuh sahaja.


Pengenalan II

Kumpulan Volunteers KL adalah sebuah kumpulan kecil anak muda yang berumur lingkungan 18 – 24 tahun yang mempunyai kesedaran tinggi terhadap pembinaan dan pengukuhan jatidiri muslim berteraskan pendekatan bil hal dan kasih sayang.
Kumpulan yang terdiri daripada kumpulan pelajar pelbagai institusi ini telah menjalankan pelbagai aktiviti berkaitan remaja bermasalah menerusi pendekatan sukan dan rekreasi dan pendekatan pendekatan yang digunakan akhirnya membawa anak anak muda ini berbakti ke perkampungan Orang Asli.
Kampung Landap telah dikunjungi secara bulanan oleh kelompok anak muda ini dan pelbagai perubahan berkaitan pengamalan Islam telah dapat disaksikan.

Pemerhatian I – Landap I

Program Landap I yang disertai oleh lebih 40 orang anak muda telah dilancarkan pada penghujung bulan Januari 2012.
Kehadiran Volunteers KL amatlah dicurigai oleh penduduk kampung terutamanya golongan warga emas kerana pengalaman lalu membuatkan mereka begitu mencurigai kehadiran orang luar.
Mereka beranggapan kehadiran orang luar hanya akan mendatangkan masalah kepada penduduk kampung seperti mana sebelum sebelum ini.
Anak anak muda ini dengan penuh kegigihan telah mendekati penduduk kampung dengan penuh kasih sayang dengan menjadikan anak anak penduduk kampung sebagai sasaran utama dakwah bil hal.


Anak anak muda ini telah memandikan anak anak penduduk kampung di sungai berhampiran secara beramai ramai dan usaha ini telah menarik perhatian beberapa orang penduduk dewasa untuk datang dan melihat secara dekat apa yang kelompok anak muda ini “bawa” untuk mereka.
Hasil perbincangan berkonsepkan “anak – ayah”, maka wujudlah satu “rasa percaya” di dalam diri golongan dewasa untuk menerima kehadiran anak anak muda ini.
Selain menjadikan anak anak penduduk kampung sebagai sasaran dakwah bil hal, anak anak muda ini juga turut memandikan beberapa orang sakit dan lumpuh yang mendiami kampung tersebut. Hasilnya, sepasang suami isteri warga emas telah disyahadahkan.

Selain itu, anak anak muda Volunteers KL juga telah mendidik warga dewasa kampung ini untuk menutup aurat dengan cara mengagihkan tudung terpakai serta mengajar kaum ibu bagaimana untuk bertudung seperti muslim di bandar.
Penduduk kampung juga telah tidak malu malu lagi untuk membantu anak anak muda ini bergotong royong menyediakan makan tengahari dan makan malam yang kemudiannya di makan secara beramai ramai.




Pemerhatian II – Landap II

Program Landap II yang disertai oleh 49 orang anak muda Volunteers KL telah dilancarkan pada penghujung bulan Februari 2012.
Anak anak muda ini masih menggunakan pendekatan dakwah bil hal dan kasih sayang sebagai medium utama menjiwai kehidupan penduduk kampung.


Penerimaan penduduk kampung amat membanggakan di mana hampir setiap rumah telah hadir untuk turut sama dengan sukarelawan bergotong royong dan beraktiviti di balai sewang.
Hampir 60% kaum ibu yang hadir telah memakai tudung dan ini merupakan suatu kejayaan bagi anak anak muda Volunteers KL.
Volunteers KL juga turut mengagihkan beg sekolah dan kasut sekolah kepada anak anak kampung yang masih bersekolah.
Seorang pemuda kampung telah melafazkan syahadah selepas teruja dengan kasih sayang yang ditunjukkan oleh sukarelawan Volunteers KL terhadap ibunya yang sakit.
Pemerhatian III – Landap III

Program Landap III telah dilancarkan pada penghujung bulan Mac 2012. Seramai 28 orang anak muda Volunteers KL telah mengorbankan cuti semester mereka untuk turut serta dalam program kali ini.
Penduduk kampung telah meminta kesemua sukarelawan yang hadir untuk bermalam di rumah mereka dan mereka amat berbesar hati untuk menjadi “tuan rumah” untuk Landap III.


Ketika Landap I dan Landap II, penduduk kampung lebih banyak memerhati dan membantu tetapi untuk Landap III mereka dengan sendirinya mencadangkan agar mereka yang mengepalai program kerana kasih kepada anak anak muda Volunteers KL yang mereka labelkan sebagai “anak anak kami”.
Hampir kesemua kaum ibu dan pemudi yang hadir telah bertudung serta tiada lagi kaum bapa yang berseluar pendek ketika Landap III.

Penduduk kampung merayu sukarelawan Volunteers KL untuk mengajar mereka tentang Islam kerana mereka mahu menjadi seperti muslim yang mereka tonton di TV.

Anak anak muda Volunteers KL telah mengendalikan kelas bimbingan peribadi kepada keluarga angkat masing masing manakala kelas bimbingan untuk kanak kanak pula dikendalikan di surau yang terdapat di situ.


Kesimpulan

Di atas kesedaran yang tinggi untuk melihat Islam kukuh di kampung ini anak anak muda Volunteers KL telah mengambil keputusan untuk membina tandas, bilik air dan tempat wudhu di surau yang terdapat di kampung ini ketika Program Landap IV yang dijadualkan pada 21 - 22 April 2012 nanti.
Pembinaan ini akan dijalankan secara bergotong royong di antara anak anak muda Volunteers KL bersama sama dengan penduduk kampung. Lokasi telah dikenal pasti dan dana serta sumbangan untuk membeli bahan mentah amatlah diperlukan.

Sehubungan dengan itu, pihak Volunteers KL amat merayu sumbangan daripada pihak anda dan pihak anda dialu alukan untuk menghubungi Sdra Ahmad Muhammad di talian 011 1285 9220 untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan apa yang dinyatakan di atas. 

Sila bank in ke A/C Hong Leong Bank 0050 2005 9325 9 Ahmad Suhaimi b Md Aris. Untuk A/C Maybank, sila bank in ke A/C Ahmad Azlee bin Azman 1648 4701 0361. Jazakamullah khairan kathira.

++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

JIka tidak pasti berkaitan hal ini, sila contact no yang berkenaan..

Insya Allah, semoga diberi kesempatan untuk follow up lagi  perkembangan projek ini.


...


Terima kasih singgah ke blog Kakyong. Jemput singgah ke IG Sihat.Gojes.Cerdas.Pintar , Blog Stokis Qaseh Gold Ipoh dan FB Kakyong HY


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...